KKM ingin menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada semua yang menyambutnya, terutama kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Pihak KKM juga ingin mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan KKM dan sukarelawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pelbagai agensi lain yang terus komited memberikan perkhidmatan mereka semasa musim perayaan ini.
KKM ingin mengingatkan masyarakat bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perayaan telah menyatakan bahawa jumlah ahli keluarga tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari di dalam rumah yang sama, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah dan amalan penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
Semoga dengan norma dan kelaziman baharu ini, kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 semasa dan selepas musim perayaan ini. Pastikan terdapat kebersihan diri sentiasa diamalkan. Sesungguhnya sambutan kali ini disambut dalam suasana yang berbeza namun penuh bermakna.
Selain itu, KKM juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa walaupun Syawal dan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan dan sering diadakan rumah terbuka dan perhimpunan secara beramai-ramai, masyarakat masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana ianya adalah dilarang sama sekali.