




Mutakhir ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai laporan penularan jangkitan Hantavirus yang berpunca daripada sebuah kapal persiaran antarabangsa. Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa tiada rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal persiaran tersebut.
Susulan komunikasi langsung KKM bersama pihak berkuasa kesihatan Singapura pada pagi ini, turut disahkan bahawa dua kru kapal warganegara mereka telah diuji negatif Hantavirus, manakala proses pengesanan kontak kini sedang giat dijalankan.
Walaupun situasi ini amat terkawal dan tidak melibatkan rakyat kita, KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak ini di peringkat global serta serantau bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi.
Untuk makluman bersama, Hantavirus adalah sejenis virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara yang tercemar dengan sisa kotoran, air kencing, atau air liur haiwan tersebut. Jangkitan ini tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut, dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
Memandangkan tiada ubat antivirus khusus buat masa ini, langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan kita yang paling ampuh. Rakyat tidak perlu panik, namun kita mesti kekal berwaspada. Saya menggesa seluruh masyarakat untuk merujuk siri infografik yang disertakan ini dan sentiasa memastikan kebersihan kediaman serta premis kerja terpelihara daripada ancaman haiwan perosak.
Sumber: Media Sosial Rasmi YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan