KLUSTER SYARIKAT PEMBERSIHAN
KKM telah mengenalpasti satu kluster yang melibatkan pekerja bukan warganegara Malaysia di sebuah syarikat pembersihan. Sehingga 29 Mei 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 24 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan warganegara Bangladesh.
Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan. Saringan ini telah dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka Secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut yang telah disaring, 126 kes didapati negatif COVID-19.
Daripada 24 kes positif kluster ini, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Empat (4) kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain. Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenalpasti dan akan disaring.
TINDAKAN SEGERA BAGI MENGATASI MASALAH PENGINAPAN PEKERJA BUKAN WARGANEGARA
Seperti yang telah dimaklumkan KKM sebelum ini, didapati kebanyakan kluster yang melibatkan bukan warganegara adalah berpunca daripada penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial (social distancing). Ini adalah medium yang amat sesuai untuk penularan pelbagai penyakit berjangkit, termasuk virus COVID-19.
Sehubungan itu, KKM menyambut baik pengumuman YB Menteri Sumber Manusia pada 27 Mei 2020, mengenai penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). Pindaan tersebut adalah bagi menambahbaik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang telah disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Isu ini sememangnya perlu ditangani segera bagi memastikan penginapan golongan pekerja yang tidak kondusif di mana sukar untuk mematuhi amalan penjarakan sosial. Selain itu, majikan juga bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada pekerja mereka tentang amalan kebersihan, langkah pencegahan jangkitan COVID-19 di tempat tinggal, dan juga pematuhan kepada pelbagai SOP yang telah dibangunkan Kerajaan untuk industri termasuk pergerakan pekerja.
Sumber – https://kpkesihatan.com
